Kita berdiri dalam gerakan Islam ini atas dasar dakwah Islamiyyah mencapai matlamat Rahmatallil‘alamin . Misi ini menyebabkan kita perlu berlari merentasi segenap penjuru bumi . Jalan yang panjang untuk tiba di destinasi keredhaan ilahi ini memerlukan kita menggarap kekuatan hati . Ada kalanya , hati akan terguris , lemah dan ‘berdarah’ disebabkan ujian yang terbentang di lapangan perjuangan ini . Oleh itu , hati yang ada di dalam diri kita ini perlu ada pemantauan seorang doktor hati . Ketahuilah bahawa doktor hati itu adalah Sayyiduna Rasulillah Sollallahu ‘alaihi wa sallam yang kita cintai . Meniliti semula dengan penghayatan yang mendalam terhadap perjuangan dakwah para sahabat Radhiyallahuanhum akan menemukan kita kepada satu dasar yang mendasari semangat juang mereka iaitu cinta Rasul Sollallahu ‘alaihi wa sallam . Satu penyembuh yang membuatkan hati yang mati menjadi hidup , satu penawar yang menyebabkan ketakutan kepada mati berubah kepada kecintaan kepada mati ,satu wangian yang apabila wujud di dalam hati maka keharuman cintanya akan turut dihidu oleh insan sekeliling . Cinta kepada insan yang kedudukannya lebih tinggi daripada akhlak ini terpancar pada para sahabat Radhiyallahuanhum ketika perang Uhud . Kisah Tolhah bersama – sama 10 orang ansar melindungi Sayyiduna Rasulillah Sollallahu ‘alaihi wa sallam yang diserang tentera Quraisy . Apabila tentera Quraisy ingin menyerang Sayyiduna Rasulillah Sollallahu ‘alaihi wa sallam , 11 para sahabat ini atas dasar cinta yang suci telah bertindak menjadi perisai kepada Sayyiduna Rasulillah Sollallahu ‘alaihi wa sallam . Mereka menginfakkan tubuh badan mereka untuk menggantikan benteng kepada pedang – pedang tajam tentera Quraisy . Manifestasi cinta ini menyemarakkan semangat jihad sehinggakan Tolhah cedera dengan 70 kesan kecederaan yang kesannya dengan saiz yang boleh dimasukkan tangan . Inilah kekuatan kesanggupan yang lahir daripada cinta Rasul . Satu tauladan yang sepatutnya kita berdayakan bersama – sama demi mendasari pembinaan sahsiyah Islamiah yang menjadi asas pertama kehidupan serba Islamiah yang lebih luas seperti yang dinukilkan dalam ‘Garis – garis Besar Haluan Perjuangan' oleh Al-fadhil Dato’ Dr. Siddiq Fadil .
Mewujudkan cinta Rasul dalam hati , cinta kepada insan yang tidak pernah kita lihat dengan mata , juga diistilahkan sebagai membina tautan hati ( Ta’aluq Qalbi ) . Al-fadhil Ustaz Hazri Hashim Al-Bindany ketika pengajian kitab Badayatussul Fi Tafdhili Ar-Rasul , karangan Al-imam Sultan Al-ulama Izzuddin Abdul Aziz Bin Abdul Salam Al-sulami telah menggariskan ‘3 special steps’ ke arah mewujudkan tautan hati bersama Rasul Sollallahu ‘alaihi wa sallam iaitu ; 1) Mengenali keindahan sifat fizikal Sayyiduna Rasulillah Sollallahu ‘alaihi wa sallam melalui kitab Syamail Muhammadiyyah . 2) Menghayati sirah Nabawiyyah . 3) Wujudnya Ta’aluq Qalbi iaitu tautan hati bersama Ar-Rasul .Mengenali sifat-sifat fizikal Sayyiduna Rasulillah Sollallahu ‘alaihi wa sallam melalui kitab Syamaill Muhammadiyyah sebagai langkah pertama ke arah mewujudkan ta’aluq qalbi amatlah tepat . Ia nya bersesuaian dengan fitrah insani yang pada awalnya melihat kepada kecantikan lahiriah . Perjalanan mengembara di setiap muka surat kitab ini akan membugar rasa pesona akan kesempurnaan wajah , akhlak , ibadah dan perilaku baginda . Bayangkan sahaja antara bait-bait hadith mengukirkan kata – kata Jabir ibnu Samurah radhiyallahu’an bahawa beliau melihat Rasulullah lalu melihat bulan mengambang yang indah cahayanya , lalu dia berkata “ Sesungguhnya bagi ku baginda lebih cantik (wajahnya) daripada bulan . Cuba perhatikan bulan . Pada bait-bait hadith yang lain pula , orang alim menafsirkan sebuah hadith bahawa Sayyiduna Rasulullah itu lebih tinggi kedudukannya daripada akhlak itu sendiri .Lihatlah dan kajilah betapa pengembaraan memahami kitab Syamail ini dapat menumbuhkan dahan cinta pada Sayyiduna Muhammad Sollallahu ‘alaihi wa sallam .
Setelah mendalami dan merasakan sifat-sifat kesempurnaan Sayyiduna Rasulillah Sollahu ‘alaihi wa sallam yang diibaratkan insan yang paling berakhlak dengan akhlak Allah dalam kaca mata insan ,perjalanan diteruskan dengan memahami Sirah Nabawiyyah . Langkah ini bagaikan ingin membuahkan satu perasaan dalam diri iaitu setelah merasakan kesempurnaan baginda , bagaimana pula insan yang sempurna ini melalui perjalanan hidup yang penuh ujian ilahi . Kitab Sirah Nabawiyyah karangan Al-Imam Abul Hassan Ali An-Nadwi dan Fiqh al-Sirah karangan Dr. Sa’id Ramadhan Al-Buti antara yang boleh dijadikan tatapan . Antara perkara yang paling hampir dengan diri kita yang tercatat dalam kitabkitab ini ialah bagaimana dengan kesabaran Baginda menahan kesakitan titisan darah dakwah Islamiyyah sehingga di tangan kita sekarang adanya Al-Quran Al-Karim sebagai pemandu hati . Insya-Allah , dengan memahami dan menghayati catatan pengorbanan Baginda dan fasa – fasa peningkatan dakwah Islamiyyah melalui Sirah Nabawiyyah ini akhirnya akan membugarkan gambaran perjalanan kisah kehidupan Baginda dalam minda kita dan membuahkan cinta pada dahan yang terbentuk hasil daripada penghayatan terhadap Syamail Muhammadiyyah .
Dahan yang telah tumbuh hasil daripada Syamail Muhammadiyyah , disusuli dengan tumbuhnya buah cinta Rasul dapatan daripada Sirah Nabawiyyah , akhirnya atas mujahadah diri menghayati hayatnya Rasulullah ini , insya-Allah akan Allah anugerahkan satu rasa keterikatan dengan Sayyiduna Rasulillah Sollallahu ‘alaihi wa sallam , ta’alluq qalb . Digambarkan oleh al-Fadhil Ustaz Hazri Hashim al-Bindany dalam pengajian Jalan Mengenal Rasulullah tentang perasaan ta’alluq qalb , satu perasaan yang apabila dimiliki , tatkala mengamalkan sunnah Rasulullah , akan teringat padanya . Tatkala mengamalkan sunnahnya , akan rindu padanya . Juga dinukilkan oleh Syeikh Nuruddin Marbu alBanjari iaitu Ta’alluq qalb akan membawa rasa kasih sayang dan cinta kepada Rasul seperti apa yang ditunjukkan oleh para sahabat yang sanggup berkorban apa sahaja demi membela Baginda . Dikalangan mereka ada yang mengatakan kenikmatan dalam hidup ini ada dua perkara iaitu ingin bersahabat dengan nabi dan berpeluang untuk berbuat baik dengan orang lain .
Semoga Allah mengurniakan setiap daripada kita nikmat Ta’alluq Qalb yang besar dan indah ini .Satu kekuatan yang kita tekuni mendasari dakwah . Satu penyembuh hati tatkala terguris luka . Satu nikmat yang sentiasa rindui dalam setiap gerak geri dakwah jemaah . Semoga dengan dasar ta’alluq qalb ini , membawa kita mencapai orientasi Suffiyun Baht Minan nahiyyat ar-ruhiyyat wa ‘askariyyun baht mina an-nahiyati al-amaliyyat iaitu orientasi sufi semurninya dari segi kerohanian dan ketenteraan setulinnya dari segi kerja dan tindakan , yang dinukilkan oleh Dato’ Dr. Siddiq Fadil dalam Garis-garis Beasar Haluan Perjuangan .
No comments:
Post a Comment